:ILTIZAM UKHUWWAH

.::Utamakan ISLAM daripada segala-galanya di atas muka bumi ini::.

 
 
 

 
     
   
       
     
  'Serulah (manusia) ke jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang Maha Mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.' (An Nahl: 125)   Sabda Rasulullah S.A.W: 'Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin.' (Bukhari & Muslim)        
 

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Assalamualaikum....... Ana adalah seorang insan yang sederhana dan tidak mempunyai sebarang kelebihan yang dapat dibanggakan dan dilebihkan dari saudara-saudara sekalian. Ana hanyalah seorang hamba yang bergantung kepadaNYA dalam setiap urusan hidup..... tidak layak mengatakan bahawa 'aku mampu hidup tanpa bantuan dariNYA'. Bahkan kita semua adalah makhluk yang bergantung hidup kepadanya. Cuba kita fikirkan..... Betapa banyak nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita seperti mata, telinga, hidung, mulut dan anggota badan lainnya....... dan juga nikmat-nikmat lain seperti nikmat udara, bumi tempat berpijak, air yang menghilangkan dahaga, semuanya tidak ternilai harganya...... siapakah yang mampu mencipta udara? atau air? atau anggota badan yang fungsinya sesempurna anggota badan yang dicipta oleh Allah S.W.T? Dan DIA hanya meminta kita melaksanakan beberapa tuntutan kecil sahaja yang faedahnya kembali kepada kita sendiri, bukannya kerana DIA memerlukan kita melakukan semua itu. Allah S.W.T tidak berhajat kepada segala sesuatu...... Fikirkanlah saudara...........

View my complete profile

 

 

 


Link Maklumat Islamiah
Al-Islam.com
Islam Online
IslamWay
E_Ulama
Back to Islam
Islamic Finder
Darul Nu'man
MuslimSources
Maha Suci Allah
Muttaqun.com
ArtIslamic
Online Dictionary


Link Portal Islamiah
IKIM
ABIM
Nurhidayah
Al-Ahkam.net
Musleem.com
MyQalam.net
Radio Tarbiyah


Link Khas Maahadian
Komuniti Khas Bekas Pelajar Maahad
AMAL Network
Laman Web Rasmi SMU(A)MML Kota Bharu
Laman Web Rasmi SMU(A)MMP Kota Bharu
Maahadianz


Link Komuniti Nasyid:-
Komuniti Saff-one Friendz
Komuniti Sahabat Firdaus
Komuniti Sahabat FarEast
Komuniti Sahabat Hijjaz
Komuniti Ukhwah
Komuniti Jalinan Mesra
Komuniti Jalinan.com
TelagaBiru.com
Nasyeed.com
Nasyid.com


Link Kumpulan Nasyid
Raihan
Rabbani
Saujana
Hijjaz
Firdaus
Durrani
Tazakka
Nur Irsyad
Lirik Nasyid


Link Simpan Gambar & HTML Guide
MyPicGallery(jpg)
Quizilla(jpg/gif)
PictureVillage(jpg/gif)
EseePhoto(jpg)
ImageStation(jpg)
EseePhoto(jpg)
ImageShack(jpg/png/gif/bmp/tif/swf)
HTMLBasix
ColorCube


::::Link Khas::::
Harun Yahya Website
Alwan Comics
Animated GIF Tutorial
Games link


 

 

Enter your email address below to subscribe to
.:IltiZam UkhuWWah:.!

Bloglet.com

 
 
Powered by Blogger

 

   

Tuesday, May 31, 2005

Islam Liberal: Waktu untuk Muhasabah diri!

Islam Liberal: Waktu untuk Muhasabah diri!

Maszlee Malik

Lewat seminar “Wacana Islam Liberal” yang pada asalnya diuar-uarkan tajuknya “Bahaya Islam Liberal” (Hanya pihak penganjur sahaja yang tahu sebab tajuknya berubah di saat-saat akhir) anjuran DBP, Karangkraf, Majalah i dan majalah Nur, salah seorang pembentang kertas kerja pada hari tersebut (Adian dari ISTAC) telah membuat satu kejutan. Bukanlah kejutan tersebut kerana beliau membawakan penyelesaian muktamad terhadap polemik Islam Liberal ini ataupun beliau mengeluarkan fatwa-fatwa tertentu berkaitan isu tersebut. Kejutan tersebut ialah ketika beliau membongkarkan bahawa istilah “Islam Liberal”itu adalah bersifat relatif. Hatta mereka-mereka yang menjadi penganut aqidah baru (Islam Liberal) ini pun tidak bersepakat di dalam memberikan definisi yang konkrit terhadap istilah yang semakin popular di Malaysia selepas alaf kedua Masihi kini. Perkataan “Liberal” yang disandarkan kepada Islam itu membawa konotasi yang pelbagai. Ianya terbuka untuk setiap pihak mentafsirkannya, sama seperti tanggapan sesetengah pihak dari aliran Liberal ketika mendefinisikan “al-Haq” (kebenaran). Bagi mereka kebenaran itu sifatnya relatif, maka belum pasti Islam itu sahaja yang benar dan yang lain itu salah.



Kenyataan beliau amat benar dan amat objektif. Berdasarkan premis tersebut, maka barangsiapa yang cuba mendefinisikan “Islam Liberal”(Islib) sebagai satu “Jamaah”, kumpulan, atau parti, atau fikrah tertentu, mahupun satu aliran pemikiran yang khusus, maka mereka telah melakukan satu kesilapan yang besar di dalam mengklafikasikan sesuatu definisi. Islib di Malaysia bukanlah satu kumpulan yang khusus yang berpegang kepada ide-ide atau doktrin-doktrin tertentu sepertimana gerakan-gerakan Islam yang wujud. Jika di Indonesia mungkin mereka mempunyai jamaah mereka yang khusus yang dinamakan sebagai Jaringan Islam Liberal (JIL), di Malaysia ianya tidak berlaku sedemikian rupa, atau mungkin belum berlaku lagi dalam corak yang sedemikian. Di Malaysia istilah “Islam Liberal” lebih merupakan satu “trend” pemikiran yang dianuti oleh pelbagai individu dan kumpulan dengan objektif masing-masing. Ada yang berakidahkan “feminisme”, ada yang berakidahkan “Anti-Sunnah”, ada yang berakidahkan “Gruchoisme”, ada yang berakidahkan “kebebasan berfikir”, ada yang berakidahkan “Human Rights”, ada yang berakidahkan “Orwellianisme”, ada yang berakidahkan “Illuminati @ Tanwiri” ala protestanisme Eropah, ada yang semata-mata ditugaskan untuk menjilat penguasa dan bermacam-macam lagi aliran pemikiran. Yang menyatukan mereka adalah keimanan mereka kepada kebebasan untuk berfikir menjangkaui sempadan “aqidah” yang dianuti golongan Islam arus perdana, kerelatifan kebenaran yang membuahkan kepada kebenaran agama-agama lain, menentang segala yang tradisional dan juga seruan mereka untuk menghapuskan “ekslusifme” bagi usaha ijtihad dan pentafsiran al-Quran. Mereka juga disatukan dengan corak pemikiran dan gaya penulisan mereka yang anti-Islam arus perdana dan sering kali bersifat “melawan arus”, hatta yang dilawan itu adalah perkara-perkara yang telah “qat’i” (tetap dan tidak berubah) di dalam agama, seumpama isu kebenaran Islam, pengharaman zina, kewajipan menutup aurat, kehalalan poligami dan bermacam-macam lagi.



Aliran pemikiran seumpama ini bukanlah baru. Mungkin di persada tanah air, ianya masih dara, tetapi di peringkat antarabangsa, terutamanya di Timur Tengah ianya telah lama berlaku. Qassim Amin, Lutfi Said, Ali Abdul Raziq, Taha Hussain dan pelbagai nama lagi yang menjadi pelopor aliran sekularisme di Timur Tengah telah mendahului para pendokong Islib moden di dalam melontarkan ide-ide untuk mentafsirkan semula al-Quran, menolak hadis, merubah syariat Islam yang disifatkan sebagai anti wanita, menafikan sistem politik di dalam Islam dan lain-lain lagi. Setelah pendapat-pendapat mereka yang tidak laku tersebut hampir pupus, kini muncul kembali di serata dunia arus pemikiran seumpama ini sekaligus menghidupkan kembali usaha-usaha liberalisasi Islam dalam bentuk yang baru. Di Amerika Syarikat, di Mesir, di Pakistan, di Indonesia dan di Malaysia sendiri aliran pemikiran yang hampir pupus ini telah disenyawakan dengan ruh globalisasi untuk kembali mengembangkan pegaruhnya. Yang menarik, di sebalik berkembangnya aliran Islib ini di serata dunia, pasti adanya unsur bukan Islam yang menaja penerusan dakwah mereka. Jika di zaman dahulu, Universiti Osborn, Lipzieg, Lieden, American University di Lubnan dan lain-lain pusat pengajian orientalisme menjadi penaja utama, kini yayasan-yayasan dari luar negara samada dari AS mahupun dari Jerman pula menjadi pembekal dana untuk kelangsungan “crusade” penjuang-pejuang aliran ini.



Lebih menarik lagi perjuangan Islib ini diberikan layanan yang teramat istimewa oleh banyak pihak. Tidak kiralah, samada media milik penguasa mahupun media alternatif, masing-masing berlumba untuk memberikan ruang kepada pejuang-pejuang Islib untuk memasarkan fikrah mereka, terutamanya media-media berbahasa Inggeris. Jika di lapangan ilmiah mereka punya suara, di lapangan hiburan juga tidak kurangnya. Kelahiran program-program hiburan yang mempromosikan fikrah liberalisme juga tidak kurang rancaknya. Penulis tidak maksudkan Sure Heboh, Akademi Fantasia dan Malaysia Idol sebagai media Islib, tetapi yang penulis maksudkan adalah rancangan-rancangan yang lebih bercorak indoktrinisasi. Filem “Spin Gasing”, “Mimpi Moon” dan yang terakhir sekali filem “Sepet”, samada secara lagsung atau tidak langsung, samada dengan sengaja ataupun tidak sengaja, merupakan ruang yang amat berkesan untuk memberikan ruang yang subur kepada pendoktrinan generasi muda agar bersikap liberal dan bersedia menerima suntikan fikrah Islib. Rancangan “infotainment” (sekadar meminjam bahasa rosak RTM) seperti 3R, Puteri, Pillow Talk dan macam-macam lagi juga secara tidak langsung berupaya memberikan kesan awal kepada usaha membuka hati para generasi muda Melayu Islam di Malaysia untuk mengalu-alukan kedatangan pemikiran Islib. Yang pasti, isu “perpaduan”,“nasionalisasi”, modernisme dan feminisme menjadi satu ruang yang paling berkesan untuk menyebarkan doktrin Islib.



Suasana politik yang tidak begitu stabil dari erti kata detmokrasinya juga banyak menyumbangkan ruang kepada arus Islib unuk berkembang. Jika ada sesiapa yang menyangkakan bahawa Islib adalah produk sesuatu pihak sahaja, mereka tersilap. Aliran Islib wujud di dalam kedua-dua arus politik kerajaan dan juga pembangkang. Dengan mengambil platform kerajaan serta ruang-ruang di dalam kerajaan sebagai kenderaan, sesetengah golongan Islib berjaya melaksanakan tugas mereka. Di sudut pembangkang pula, kebobrokan kerajaan di dalam isu hak asasi manusia, kebebasan berpolitik, penguat kuasaan moral dan juga isu wanita telah memberikan mereka peluang untuk menyebarkan faham Islib mereka dari sudut golongan yang ati-establishment. Yang pastinya di kedua-dua ruang mereka dapat mengasak rakyat dengan doktrin Liberalisasi yang dianggap “kudus”.



Jangan tersilap anggap, bukanlah tujuan penulis melontarkan hipotesis ini untuk memaksa pihak berwajib untuk men“GAM”kan pihak-pihak tertentu mahupun memberikan tindakan undang-undang seperti yang dilaungkan oleh sesetengah pihak. Itu tidak akan memberikan kesan yang positif. Penulis lebih beriman dengan konsep “hujah” dan juga “Hiwar” (perbincangan) bertamadun. Isu Islib adalah isu pemikiran, dan pemikiran hanya akan dapat berlawan dengan pemikiran juga. Yakinlah Islam (tulen atau arus perdana) mempunyai kekuatan hujah dan logik untuk berhadapan dengan doktrin Islib, Cuma yang diperlukan ialah ruang yang adil dari pihak media dan juga ruang-ruang forum umum dari pihak berkuasa. Usai seminar “Wacana Islam Liberal” anjuran DBP itu otak penulis ligat befikir, mengapa pihak yang memperjuangkan Islam sebenar tidak bersungguh-sungguh memerangi Islib jika mereka benar-benar meyakini bahawa Islib adalah satu aliran yang bercanggah dengan kebenaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.?. Jika hanya diharapkan pada wacana ini sahaja, ianya tidak akan mencukupi. Adakah dengan memberikan tanggung jawab untuk memberikan penerangan tentang kesesatan Islib ini pada bahu dua tiga orang ustaz sahaja sudah cukup, dan orang lain yang menyangkakan diri mereka pendokong Islam yang sebenar boleh berpeluk tubuh sahaja?, ini tidak benar dan merupakan pemikiran yang jauh lebih sesat daripada Islib.



Ruang berforum dan berbincang sepeti yang pernah dilakukan di antara wakil-wakil fikrah Islib dengan Dr Siti Mariah, Ustaz Nasharudin dan juga Ust Mujahid merupakan di antara usaha yang elok diteruskan. Perbincangan intelektual inilah yang sepatutnya menjadi medan pertempuran arus-arus pemikiran. Sayangnya ianya tidak dapat dikongsi oleh majoriti rakyat. Ruang media yang lebih umum tidak langsung memberikan peluang kepada wacana seumpama ini dikeudarakan. Entah apa sebabnya, hanya Menteri Penerangan sahaja yang ada jawapannya. Sayang juga, mereka yang muncul mempertahankan Islam sebenar adalah wakil-wakil PAS, ini mungkin dilihat sebagai usaha mereka mempertahankan PAS sahaja. Kemanakah wakil-wakil JAKIM yang menjadi “guardian” kepada Islam di bumi Malaysia ini?, kemanakah juga para cerdik pandai dari fakulti-fakulti pengajian agama Islam untuk berhadapan dengan golongan-golongan Islib?, adakah dengan mencapai makam Prof ataupun Prof Madya sudah cukup buat mereka untuk berehat dan hanya menjadi jaguh di dewan-dewan kuliah dan seminar-seminar untuk membentangkan kertas kerja sahaja?. Mungkin alasan yang diberikan, wakil-wakil Islib ini adalah golongan yang jahil dan tidak perlu dibawa berbincang. Memang agak betul juga, lihatlah pejuang-pejuang Islib, siapakah yang memegang Phd di bidang Islam ?(kecuali Dr Patricia Martinez, namun sayangnya beliau bukanlah seorang Muslim , walaupun sering menjadi rakan golongan Islib). Walaupun yang demikian, itu bukanlah alasannya. Maka peranan para doktor-doktor agamalah untuk “mengajar” mereka dan membetulkan corak pemikiran mereka yang dianggao tersasar ini.

Dalam bidang seni dan sastera pula, tidak nampak usaha golongan Islam tulen untuk memperjelaskan perkara-perkara yang kabur ini. Jika kumpulan-kumpulan yang bernaung di bawah payung ideologi Islib boleh menggunakan ruang-ruang seni, samada yang di atas tanah mahupun yang di bawah tanah, selayaknya golongan Islam tulen aka Islam sebenar juga pro aktif di dalam hal ini. Sayang seribu kali sayang, kumpulan-kumpulan nasyid yang menjunjung Islam Perdana hanya seronok berkhayal dengan isu cinta yang tidak sudah-sudah. Lebih parah lagi mereka hanya seronok untuk berebut memenangi anugerah itu dan anigerah ini berbanding berkorban untuk menegakkan agama suci yang mereka anuti itu. Mungkin satu anjakan paradigma dan revolusi mental golongan-golongan yang mendakwa ingin berdakwah melalui seni ini perlu dilakukan. Di bidang perfileman pula, juga perlu ada ruang untuk para produser filem “Islam tulen” meluaskan sayap doktrin mereka demi melumpuhkan penularan ideologi Islib “jika mereka benar-benar merasakan Islam mereka adalah yang lebih benar dari Islib”. Untuk mengharapkan filem-filem jarak panjang yang dihasilkan selayak filem-filem konvensional agak keterlaluan. Mana ada dana!!!, yang dimaksudkan di sini ialah filem “shorts” yang bercorak memenuhi selera orang muda tetapi masih menjaga batas syarak. Cerpen-cerpen dan novel-novel untuk mematahkan kemaraan Islib juga belum ada yang mucul di pasaran. Jika ada cerpen-cerpen Islami pun hanya bersifat tradisional dan lesu serta tidak mengetuk pemikiran para pembaca. Cinta sudah tentu menjadi MSG paling utama untuk melariskan novel-novel yang dihasilkan. Maknanya 101 ruang lagi belum benar-benar diterokai oleh golongan Islam tulen untuk mempertahankan kesucian Islam anutan mereka.



Majoriti pendokong Islam tulen hanya mengharapkan agar adanya cop “HARAM” dan “SESAT” ke atas fraksi-fraksi Islib dikeluarkan oleh pihak JAKIM, tulisan-tulisan dan penerbitan-penerbitan brbau Islib diharamkan, upacara penangkapan pendokong-pendokong Islib di bawah ISA, pendokong-pendokong Islib dibawa ke layar TV untuk upacara penghakiman dan keinsafan lagak mantan pimpinan-pimpinan al-Aqrqam suatu waktu dahulu, dan juga bermacam-macam penggunaan kuasa autoriti dan juga “usage of force” dikenakan oleh pihak berkuasa. Ibarat bermimpi di siang hari, mereka yang ramai ini terlupakan bahawa pihak penganut Islib juga terdapat di dalam jentera-jentera kerajaan yang akan memastikan usaha-usaha yang sedemikian adalah “mustahil” dikenakan ke atas saudara dan saudari sefikrah mereka. Mereka tidaklah sedangkal golongan al-Arqam yang amat mudah dititik dan dipicit oleh pihak berkuasa kerana kekurangan strategi dan juga bersikap ekslusif. Mereka adalah promoter “fikiran” dan bukannya kumpulan. Sekali lagi perlu ditekankan, perjuangan mereka adalah perjuangan pemikiran dan ianya perlu ditentang dengan pemikiran juga. Penggunaan kuasa tidak akan kemana, kerana tiada sesiapa yang dapat menghalang manusia dari berfikir dan mendapatkan maklumat di era globalisasi ini.



Nampaknya, kemunculan fenomena Islib di Malaysia ini di sebalik kepahitannya ada hikmahnya juga. Apabila munculnya golongan Islib, barulah ramai yang sedar keadaan kejahilan masyarakat berada di tahap yang membahayakan, Barulah ramai yang sedar perlunya melipat gandakan penyebaran doktrin Islam yang sebenar. Barulah ramai yang sedar bahawa masyarakat terpelajar sudah ramai yang celik dan berfikir. Barulah ramai yang sedar bahawa Islam tulen yang mereka anuti dan percayai selama ini berada di dalam ancaman dari dalam dan bukannya dari luar lagi. Seperti kata Fathi Aris Omar di dalam salah satu artikelnya, “kemunculan golongan Islib ini telah menjadikan orang-orang PAS aktif, kreatif dan mula berfikir...” (selepas diubah gaya bahasa asalnya). Penulis pula ingin menambah, “Bukan hanya sekadar PAS yang telah menjadi semakin kreatif, aktif dan mula berfikir, malah keseluruhan pejuang-pejuang Islam tulen...”. Persoalannya adakah semua lapisan penganut Islam tulen benar-benar celik, merasakan ancaman dan bahaya Islib lantas bangun untuk memberikan reaksi demi mempertahankan Islam tulen mereka?, tanyalah jiran di sebelah rumah anda, adakah mereka tahu apa itu Islam Liberal dan Islam tulen?, jika tidak, muhasabahlah kembali diri kita sendiri!

Wednesday, May 25, 2005

Salahkah menjadi kaya?

Salahkah menjadi kaya?

Maszlee Malik



Seringkali apabila perkataan zuhud disebutkan, ramai yang akan terfikirkan kehidupan yang miskin, merempat dan juga tidak berharta benda. Bagi mereka yang beriman dengan mentaliti sebegini, kekayaan akan dilihat sebagai satu “dosa” dan satu perkara yang mencerminkan “kekurangan” iman mereka yang memilikinya. Lebih dahsyat lagi, ada di kalangan umat Islam yang berpandangan bahawa berbicara tentang usaha mencari kekayaan juga merupakan sesuatu yang berdosa dan lagho. Walaupun bukan semua umat Islam berpandangan seperti ini, namun kewujudan mentaliti seumpama ini di kalangan umat Islam, terutamanya di kalangan mereka-mereka yang ikhlas dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah memang ada. Adakah benar teori yang mereka imani itu?


Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya “al-Fataawi al-Mu’asirah” (jil. 2, hal. 415, Kaherah: Dar al-Tawzi’), telah menyebutkan bahawa Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan. Malah di dalam banyak keadaan, terdapat dalil-dalil, samada dari al-Quran mahupun Hadis yang menunjukkan betapa Syariat Allah membenarkan umat Islam untuk mencari kekayaan, antaranya:

a) Firman Allah S.W.T. dalam menerangkan hal Rasulullah S.A.W., “Dan (ketika) Kami dapati kamu miskin, Kami mengkayakan kamu” (al-Dhuhaa: ayat 8).

Jikalaulah kekayaan merupakan satu dosa, nescaya Allah S.W.T. tidak memberikan kekayaan kepada Rasulullah S.A.W. melalui isterinya Khadijah. Jikalaulah kekayaan juga merupakan satu dosa, nescaya Allah akan mencela kekayaan dan tidak akan menyebutnya di dalam ayat tersebut, apatah lagi menganugerahkannya kepada kekasihNya.


b) Rasulullah S.A.W. telah mengajarkan kepada kita doa yang berbunyi: “Ya Allah, aku pohon padamu ketaqwaan, kemuliaan dan juga kekayaan”. (H.R. Muslim, al-Tarmidhi, Ibn Majah dan Ahmad).

Jikalaulah kekayaan sesuatu yang dosa, mengurangkan iman serta dipandang hina oleh Islam, nescaya Rasulullah S.A.W. tidak akan mengajar kita untuk memohon kekayaan seperti yang terdapat di dalam doa tersebut.


c) Dalil yang ketiga pula ialah hadis riwayat Saad bin Abi Waqqas: “Sesungguhnya Allah menyukai hambaNya yang bertaqwa dan yang kaya”. (H.R. Muslim dan Ibn Hibban)

Allah S.W.T tidak akan menyukai sesuatu yang dimurkainya ataupun sesuatu yang diharamkannya. Kedua-duanya bertentangan. Oleh yang demikian, memiliki kekayaan bukanlah sesuatu yang haram, malah sesuatu yang boleh mengundang kesukaan Allah, dengan syarat ianya hendaklah disertai dengan ketaqwaan.


4) Rasulullah S.A.W. juga pernah mengatakan kepada Amru ibn ‘As: “Sebaik-baik harta yang baik adalah yang dimiliki oleh orang yang soleh”. (H.R. Ahmad dengan sanad yang Jayyid, dan al-Hakim yang dikategorikannya sebagai Sahih).

Maknanya di sini, Allah amat sukakan jika harta dunia ini dimiliki oleh hamba-hambaNya yang soleh. Ini kerana, mereka tidak akan menyalah gunakan harta tersebut, dan ianya akan digunakan untuk mensyukuri Allah dan untuk manfaat orang-orang lain juga. Jikalaulah memiliki kekayaan itu haram dan berdosa, nescaya Allah akan mencela sifat orang soleh yang memiliki kekayaan, tetapi hal yang demikian tidak berlaku di dalam Islam.




Contoh dari kalangan sahabat

Tidak dinafikan bahawa Rasulullah S.A.W. selepas kewafatan Khadijah telah menjalani kehidupan yang sederhana. Sewaktu di Madinah pun kehidupan Rasulullah S.A.W. agak sederhana. Tidak dinafikan juga kehidupan ramai sahabat, terutamanya mereka yang asalnya hamba adalah dalam keadaan miskin, sehinggakan kebanyakan daripada mereka dikenali sebagai golongan ahl-Suffah yang tinggal di laman Masjid al-Nabawi. Namun yang demikian, ianya bukanlah mencerminkan kehidupan kesemua sahabat Rasulullah S.A.W. dan juga gaya hidup yang wajib diikuti oleh semua umat Islam. Terdapat di kalangan mereka, para hartawan dan juga peniaga yang kaya raya. Nama-nama seperti Uthman, Abdul Rahman bin Auf, Suhayb al-Rumi, Abu Bakar dan lain-lain lagi adalah nama-nama yang telah menghiasi perjuangan Islam di peringkat awalnya dengan pengorbanan dari sudut material. Siapa tidak kenal dengan pengorbanan Abu Bakar, Umar dan Uthman. Telah menjadi tauladan juga pengorbanan Abdul Rahman bin Auf, seorang saudagar ala-Donald Trumph di dalam lembaran kehidupan muslimin di Madinah. Lebih menarik lagi, di dalam bukunya Fiqh al-Sirah, Dr. Munir Muhammad Gahdban telah membawakan sebuah riwayat bagaimana Rasulullah S.A.W. telah mengatakan: “Jika kamu memberikan pasir kepada Ibn Auf, nescaya dia akan berupaya menukarkannya dengan emas”.

Rasulullah S.A.W. tidak pula melarang para sahabat-para sahabat yang kaya raya ini daripada memiliki kekayaan. Malah jika disaksikan, kekuatan Islam banyak dibina dengan harta-harta para sahabat yang telah disebutkan. Bukankah ini cukup unuk membuktikan bahawa pemilikan kekayaan bukanlah sesuatu yang berdosa dan dilarang oleh Islam.

Fitnah

Walau bagaimanapun, perlu diingat juga, harta juga merupakan fitnah bagi seseorang Muslim di dalam beberapa keadaan. Maksud fitnah di sini ialah, ianya mendedahkan pemiliknya kepada bahaya. Realiti telah menunjukkan bagaimana kerana harta manusia engkar perintah Tuhan seperti Qarun, kerana harta manusia berbalah, kerana harta manusia sanggup berbunuh, kerana harta manusa sanggup menipu dan melakukan jenayah. Harta juga adakalanya menjadikan manusia lupa daratan dan bongkak serta takabur. Adakalanya harta dan kekayaan juga menjadikan manusia semakin jauh dengan Tuhan. Selaras dengan realiti tersebut, Allah S.W.T. telah menyebutkan di dalam al-Quran: “Sesungguhnya hartamu dan juga anak-anakmu adalah fitnah” (al-Taghaabun: ayat 15). Begitu juga firman Allah S.W.T. di dalam surah al-‘Alaq, ayat 6 dan 7: “Ingatlah, sesungguhnya manusia itu melampaui batas, jika dia melihat dirinya telah mencukupi (kaya)”.

Oleh yang demikian, kekayaan dan harta yang dimiliki oleh seseorang Muslim sewajarnya dijadikan alat untuk mereka semakin mendekatkan diri kepada Allah dengan mensyukuri nikmat yang telah dikurniakan itu. Umat Islam juga wajar sentiasa beringat bahawa harta yang mereka miliki itu hanyalah pinjaman dari Allah yang bila-bila masa sahaja akan diambil semula. Mereka juga wajar sentiasa sedar bahawa harta dan kekayaan yang mereka miliki juga adalah amanah yang akan disoal oleh Allah di Padang Mahsyar nanti.


Di dalam Hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W telah mengingatkan para sahabatnya dan juga kaum muslimin bahawa antara empat soalan yang akan ditanyakan di Padang Mahsyar ialah perihal: “Harta, dari mana sumber ia diperolehi dan kemanakah ianya dibelanjakan”. Oleh yang demikian, wajib ke atas setiap muslim agar menjaga sumber harta kekayaannya. Walaupun menjadi kaya tidak dilarang oleh Islam, namun kekayaan tersebut hendaklah dari sumber yang halal dan jauh dari unsur-unsur syubahat. In kerana harta yang haram, tempatnya hanyalah di neraka!

Umat Islam juga perlu menjaga ke mana hartanya dibelanjakan. Ramai orang yang begitu menjaga sumber harta, tetapi tidak begitu mengambil berat kemanakah hartanya dibelanjakan. Perbelanjaan ke jalan-jalan yang haram dan juga syubhat. Ini kerana kita akan dipersoalkan tentang setiap sen daripada harta yang kita belanjakan.



Kelebihan menjadi kaya

Kekayaan juga merupakan satu kelebihan bagi mereka yang memilikinya dari kalangan umat Islam untuk menambahkan pahala dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Bagaimana tidak, dengan harta yang banyak seseorang akan berupaya menjalankan dua daripada rukun Islam yang asasi. Yang pertamanya ialah membayar zakat, seseorang yang tidak mempunyai harta yang cukup nisab tidak akan mampu untuk membayar zakat. Untuk mencapai nisab, seseorang itu perlu memiliki harta yang banyak. Yang keduanya pula ialah menunaikan haji ke Mekah. Jika seseorang itu tidak mampu dia tidak diwajibkan untuk menunaikan haji (dan kemampuan seperti mana yang didefinisikan oleh Imam al-Nawawi berdasarkan hadis-hadis yang sahih di dalam bukunya “al-‘Umdat”, adalah bekalan dan juga kenderaan untuk sampai ke Mekah).

Kekayaan dan harta yang lebih juga boleh memberikan peluang kepada seseorang muslim untuk melakukan amalan yang amat disukai oleh Allah S.W.T., iaitu infaq (mengorbankan harta) di jalan Allah untuk kerja-kerja dakwah, aktiviti-aktiviti keIslaman dan juga berjihad. Allah S.W.T. memuji mereka yang melakukan infaq di dalam firman Allah, “Wahai orang-orang yang beriman, hendakkah kamu Aku tunjukkan perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih ?, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itu lebih baik, jika kamu mengetahuinya” (surah al-Saff: ayat 10). Begitu juga dengan banyak lagi ayat-ayat lain serta hadis-hadis yang seumpama dengannya.

Kekayaan yang dimiliki juga membolehkan seorang muslim berderma dan melakukan amal jariah. Amal jariah seperti yang telah diperingatkan oleh Rasulullah S.A.W. merupakan bekalan untuk para muslim selepas kematian mereka. Bagaimanakah seseorang boleh melakukan amal jariah jika dia tidak berharta? Lihat sahajalah hadis riwayat Abu Dhar bagaimana sahabat-sahabat Ahl al-Suffah berasa iri hati oleh kemampuan para sahabat-sahabat yang kaya yang mampu untuk beramal seperti mereka (ahl al-Suffah) dan juga berderma, walhal golongan ahl al-Suffah hanya mampu beramal dan tidak mampu berderma (Lihat hadis no. 25 dari hadis 40 Nawawi, yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Dhar). Akhirnya, Rasulullah S.A.W. terpaksa menenangkan mereka dengan kata-katanya, “itulah kelebihan yang Allah S.W.T. berikankepada sesetengah hambaNya”.



Hak harta di dalam Islam

Jika kita mempunyai harta yang banyak @ kaya, perlu juga diingatkan hak harta kita yang pasti akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T. di akhirat nanti. Apakah hak-hak tersebut?

Bagi Ali, Hassan dan juga Abu Dhar mereka mempunyai pandangan mereka yang tersendiri. Bagi mereka, pemilikan harta mempunyai had maksimanya. Jika seseorang telah memiliki harta melebihi had maksimanya, dia wajib menyerahkan hartanya kepada Baytul Mal. Ide mereka inilah yang kemudiannya dikongsi bersama oleh para penganut faham Sosialime. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika kita dapati para sosialis Muslim ramai yang menjadikan Abu Dhar sebagai ikon mereka. Pendapat ini walau bagaimanapun bukanlah pendapat majoriti umat Islam dan bukanlah pendapat yang paling tepat.

Majoriti para sahabat dan juga para mujtahidin berpendapat, kekayaan tiada had maksimanya selagimana tuan punya harta menunaikan hak-hak hartanya sepertiman yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T. Antara hak-hak harta ialah :

a) Dikeluarkan zakat jika telah melebihi nisab zakat. Samada ianya berupa zakat harta, zakat pertanian, zakat perniagaan mahupun zakat fitrah.
b) Diinfaqkan di jalan Allah dengan membantu usaha-usaha penyebaran agama Islam dan juga aktiviti-aktiviti dakwah dan jihad sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Abu Bakar, Umar dan juga Abdul Rahman bin ‘Auf.
c) Didermakan kepada fakir miskin dan juga mereka yang tidak berkemampuan. Ini merupakan sebahagian daripada manifestasi sikap bersyukur ke atas harta yang telah dikurniakan oleh Allah kepada pemiliknya.
d) Memberikan pinjaman kepada mereka yang tidak berkemampuan dan datang meminta kepada kita untuk berhutang. Malah dalam hadis Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W. telah menjanjikan bantuan Allah di akhirat nanti bagi mereka yang meringankan beban saudaranya di dunia.
e) Pemilik harta hendaklah menyedari bahawa hartanya bukanlah miliknya, tetapi amanah yang Allah beikan kepadanya, maka dia tidak berhak untuk bersikap bakhil terhadap hartanya.
f) Ianya didapati dari sumber yang halal dan dibelanjakan ke jalan yang halal juga.
g) Ianya tidak akan melekakan pemiliknya dari membuat amal, malah ia menjadi motivasi bagi pemiliknya untuk menambahkan amalan melalui harta tersebut.



Di sana terdapat banyak lagi panduan bagaimanakah harta boleh dimanfaatkan untuk Islam dan juga untuk membina masa depan yang lebih indah bagi pemiliknya di akhirat nanti. Artikel ini hanya menyentuh sebahagian kecil darinya. Semoga para pembaca akan lebih berusaha untuk mencari panduan-panduan tersebut, terutamanya melalui tulisan-tulisan al-Qaradawi dan lain-lain ulama kontemporer. Jika yang demikian, apa yang anda tunggu lagi?, jom jadi kaya!!!
 
Online Radio
Palestin Kini
Info Palestina
Harakah Daily
PAS Website
Tranung Kite